Sorok rokok seludup di rumah terpencil

KEGIATAN sindiket penyeludupan rokok yang menjadikan kediaman terpencil sebagai stor penyimpanan di Lundu dekat Kuching dilumpuhkan semalam.

Bahagian Penguatkuasaan JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak melakukan intipan sejak seminggu lalu sebelum serbuan dilakukan di kediaman itu, 2.45 petang semalam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, sebanyak 9,370 kartun rokok putih dan kretek bersamaan 187,400 batang yang dianggarkan bernilai RM168,731.20 termasuk cukai disita.

“Barangan disita dibawa ke stor Penguatkuasaan Kastam Demak Laut untuk siasatan lanjut.

“Seorang lelaki yang disyaki pemilik rumah terbabit juga ditangkap dalam serbuan itu untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, rokok terbabit dipercayai disimpan untuk dijual ke pasaran tempatan di sekitar Bau, Lundu dan Sematan.

“Rokok pelbagai jenama dipercayai stok bekalan yang baru sampai untuk pasaran dan memenuhi permintaan sempena perayaan Gawai Dayak yang akan disambut tidak lama lagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“JKDM meminta orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import,” katanya.

Katanya, orang awam boleh menghubungi talian bebas Kastam 1-800-88-8855, atau layari laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.

“JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.