Solat berjemaah boleh tapi ikut garis panduan

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberi kebenaran kepada masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibuka bagi menunaikan solat Jumaat dan berjemaah termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula esok.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata, ia berdasarkan pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 14 Mei lalu melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ketetapan ini juga dibuat susulan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 9 Jun depan.

Menurutnya, kebenaran itu adalah tertakluk kepada bilangan jemaah tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa yang akan ditentukan Jawatankuasa Masjid dan surau.

“Kebenaran ini juga tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Jawi juga ingin mengingatkan agar segala garis panduan dan SOP berkaitan hendaklah dipatuhi bagi mengelakkan kebenaran bersyarat ini ditarik semula,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, umat Islam diharap dapat meningkatkan amalan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 dalam negara segera berakhir.