Sindiket judi dalam talian tumpas

POLIS menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian menerusi serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan Pasir Emas, Kajang, hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis membuat serbuan di lokasi itu pada jam 2 petang.

“Hasil serbuan dilakukan, kami menahan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 27 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian.

“Kami turut merampas komputer riba, set komputer, telefon bimbit, kad sim, router, modem, papan putih dan kalkulator dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmi berkata, sindiket itu yang didalangi seorang lelaki tempatan menjadikan kediaman di kondominium 19 tingkat berkenaan sebagai pusat kegiatan terbabit.

“Sindiket yang dipercayai sudah beroperasi sejak dua bulan lalu ini menggunakan laman sesawang 918Kiss, Mega888, SunCity, Pussy888 dan Joker untuk aktiviti perjudian dalam talian.

“Difahamkan kutipan harian diperoleh sindiket ini dianggarkan antara RM1,000 hingga RM2,000 manakala kutipan bulanan pula mencecah kira-kira RM100,000 dengan bayaran gaji pekerja lingkungan RM1,500 hingga RM2,000,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4 (1) (c) akta sama dan Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.