Sila buat laporan…

INDIVIDU yang mendakwa kehilangan wang dalam akaun bank selepas melakukan transaksi pembayaran pembelian menerusi platform jualan dalam talian diminta tampil membuat laporan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

“Nasihat saya kepada mana-mana individu yang mendakwa menjadi mangsa kehilangan wang selepas melakukan transaksi pembayaran pembelian menerusi platform jualan dalam talian diminta tampil membuat laporan polis.

“Ia bagi membolehkan pihak polis membuat siasatan dan mengesan mangsa lain sekiranya ada. Selain menyemak dengan platform jualan dalam talian berkenaan sama ada wujud kejadian seperti didakwa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan wujud sindiket mencuri wang dalam akaun individu yang membeli barangan di platform jualan dalam talian.

Mohd Zakaria menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati berkongsi maklumat diperoleh media sosial bagi mengelakkan penyebaran berita palsu.

“Ketika ini, terlalu banyak berita palsu disebarkan termasuk mengenai transaksi pembayaran dalam talian seperti masalah teknikal berlaku pada sebuah bank, baru-baru ini yang didakwa didalangi oleh sindiket penipuan, namun ia adalah tidak benar.

“Penyebaran palsu sebegini adalah tidak baik kerana ia menyebabkan kegusaran kepada masyarakat yang akan hilang kepercayaan kepada institusi kewangan untuk membuat transaksi debit bagi perniagaan dalam talian,” katanya.