SFC selamatkan beruk kelaparan

With pix

Kuching: Seekor beruk ‘Macaque’ hampir mati kebuluran selepas dibiarkan terikat pada sebatang pokok berdekatan rumah pemiliknya di Sibu, semalam diselamatkan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Difahamkan, haiwan liar itu ditinggalkan tuannya yang balik kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai mengenai seekor beruk kelaparan selepas ditinggalkan tanpa pengawasan oleh pemiliknya.

“Beruk yang kelaparan itu berjaya diselamatkan dan kini disimpan di tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zolkipli berkata, beruk itu adalah spesies yang dilindungi mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Berdasarkan ordinan itu, sesiapa yang memburu, membunuh, menangkap, menjual atau memiliki sebarang haiwan terlindung adalah melakukan kesalahan dan akan menghadapi hukuman penjara satu tahun dan denda RM10,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Zolkipli berkata, selain menyalahi undang-undang, tindakan memelihara haiwan liar itu juga dikhuatiri boleh mengundang penyakit berjangkit.

“Haiwan liar itu mungkin pembawa penyakit zoonotik yang membuat mereka sakit ketika mereka lemah akibat stres dan dapat menjangkiti manusia seperti wabak Covid-19 yang kita alami sekarang yang disyaki dipindahkan dari tenggiling kepada manusia.

“Beruk ‘Macaque’ di Sarawak didokumentasikan sebagai pembawa malaria monyet dan penyakit zoonotik lain,” katanya.

Justeru katanya, adalah lebih baik haiwan liar itu dibiarkan hidup bebas di habitatnya.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mendapati sesiapa yang memelihara haiwan yang dilindungi atau sebarang aktiviti haram berkaitan haiwan terlindung supaya menyalurkan maklumat kepada SFC dengan menghubungi talian hotline SFC di 016-8565564 / 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8223449 / 019-8332737 (Bintulu) dan 019-8290994 / 018-9799778 (Miri).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan