Setiausaha politik bekas menteri ditahan

SETIAUSAHA politik kepada bekas menteri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kes penipuan untuk mendapatkan kelulusan perancangan pembangunan membabitkan kerugian RM1 juta, kelmarin.

Sumber memberitahu Harian Metro, seorang arkitek berurusan dengan lelaki dipercayai bergelar Datuk serta isterinya masing-masing berusia 66 dan 43 tahun bagi mendapatkan kelulusan perancangan bangunan pembangunan pada awal Jun tahun lalu.

“Selepas berbincang, lelaki itu bersetuju untuk membuat pembayaran dan dia menyerahkan wang tunai berjumlah RM 1 juta kepada suspek serta isterinya di parkir di Kuala Lumpur sebelum menerima surat yang diminta.

“Dia (mangsa) kemudian membuat semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mendapati tiada surat dikeluarkan mahupun kelulusan diberikan kepada syarikatnya untuk perancangan bangunan seperti dijanjikan suspek.

“Arkitek yang menyedari dirinya ditipu dan mengesyaki dokumen diterima adalah palsu tampil membuat laporan polis berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hasil maklumat diterima, polis menahan suami isteri itu dan setiausaha politik kepada bekas menteri berkenaan yang berusia 53 tahun, kelmarin.

“Hasil soal siasat dilakukan mendapati suami isteri itu adalah orang tengah kepada setiausaha politik bekas menteri berkenaan yang dipercayai menyediakan dan menyerahkan dokumen disyaki palsu itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan termasuk akan memanggil bekas menteri berkenaan serta bekas timbalannya selain PBT dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.