Semangat raya ‘fantastik’

TENAGA Nasional Berhad (TNB) mempersembahkan filem pendek ‘Semangat Raya Epik Fantastik bagi menghargai pengorbanan rakyat Malaysia kekal di rumah dalam usaha membendung penularan dan memutuskan rangkaian Covid-19.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata, TNB meneruskan tradisi menceriakan sambutan Syawal kali ini dengan sedikit kelainan dalam menampilkan hakikat pengorbanan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sambutan Aidilfitri selain membuka pintu kepada kemahiran baharu kepada rakyat Malaysia.

Katanya, keunikan iklan raya TNB kali ini apabila sesi penggambaran seperti kebiasaan tidak dapat dilakukan sebaliknya setiap babak perlu dirakam sendiri oleh setiap watak sepertidiperlukan pengarah.

“Dengan mematuhi arahan untuk duduk di rumah sepanjang PKP, ‘hero-hero kita’ ini lebih menghargai perkara kecil dan kebebasan yang kita ada selama ini.

“Suasana terperap di kediaman masing-masing juga membolehkan kita melakukan perkara yang kita ambil mudah selama ini. Keadaan ini menjadikan kita kreatif, mencuba perkara yang tidak pernah kita lakukan.

“Rupanya ramai dalam kalangan kita yang mempunyai bakat terpendam. Masa terluang ini membolehkan kita mendalami ilmu dan kemahiran yang kita tidak terfikir selama ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagi yang berkeluarga, PKP memberi ruang dan peluang untuk mengeratkan semangat kekeluargaan serta menguji dan meningkatkan kesabaran.

“Sambutan Aidilfitri kali ini bakal berbeza dari biasa kerana tidak dapat diraikan bersama keluarga.

“Kita akan menghargai mereka yang ‘tidak’ dapat bersama menyambut lebaran bukan kerana mereka tiada tetapi disebabkan kekangan PKP,” katanya.

Mesej Aidilfitri TNB ini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi TNB, TENAGAoffcial, bermula semalam.

Tajuk ‘Semangat Raya Epik Fantastik’ adalah kesinambungan filem pendek TNB pada setiap perayaan Aidilfiri sejak beberapa tahun lalu.

Selain menonton filem ini, penonton juga boleh menggunakan pelbagai GIF menarik di Instagram dan ucapan Hari Raya yang menarik untuk dikongsikan kepada insan tersayang melalui WhatsApp.