Selepas berbelas tahun, tiada kelibat warga asing

KAWALAN ketat pihak berkuasa di sekitar Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur menyebabkan tiada langsung kelibat warga asing berniaga mahupun berkerja di kawasan berkenaan.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi mendapati beberapa anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membuat rondaan serta kawalan di kawasan terbabit.

Pekerja gerai sayuran di Pasar Harian Selayang, Ali Salleh, 36, berkata, keadaan di pasar itu kini berbeza dengan tiada kehadiran peniaga serta pekerja warga asing memonopoli kawasan berkenaan.

“Sepanjang pengalaman saya bekerja di pasar ini sejak 13 tahun lalu, kawasan ini sentiasa dipenuhi dengan pekerja serta peniaga warga asing.

“Namun keadaan ini sudah berubah selepas pihak berkuasa mengambil pendekatan melarang mereka (warga asing) berniaga atau berkerja di sini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ali berkata, pihak berkuasa juga mewajibkan peniaga dan pekerja di pasar itu untuk memakai pas dikeluarkan mereka sepanjang berada di kawasan berkenaan.

“Pihak berkuasa yang membuat kawalan akan memeriksa sama ada individu yang berniaga mahupun bekerja memiliki pas berkenaan.

“Hanya mereka yang mempunyai pas ini dibenarkan untuk berniaga atau berkerja di sini,” katanya.

Bagi seorang peniaga ayam dan daging di pasar berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 40-an, berkata, pihaknya sukar untuk mendapatkan pekerja tempatan kerana pekerjaan itu tidak menjadi pilihan anak muda.

“Susah mahu dapat pekerja tempatan kerana tidak ramai anak muda mahu bekerja di pasar kerana ia memerlukan mereka kena bangun awal pagi dan bekerja setiap hari.

“Saya harap lebih ramai anak muda tampil untuk merebut peluang pekerjaan di sini dengan kadar gaji ditawarkan antara RM60 hingga RM70 sehari bergantung kepada peniaga,” katanya.

Katanya, ada sebahagian gerai di pasar berkenaan masih belum beroperasi ketika ini berkemungkinan kerana sambutan Aidilfitri semakin dekat.

“Ketika ini, ada beberapa kedai masih belum beroperasi sejak ia dibuka semula baru-baru ini mungkin disebabkan hari raya tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, DBKL dalam kenyataan, hari ini, berkata, pihaknya meneruskan pemantauan dan kawalan di Pasar Borong Kuala Lumpur dengan membuat kawalan di tol masuk dan keluar untuk menghalang kemasukan warga asing tanpa permit kerja sah daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Rondaan di sekeliling kawasan tembok juga dilaksanakan bagi memastikan tiada warga asing yang menggunakan tembok sebagai laluan pintas.

“Tindakan itu dilakukan bagi memastikan tiada warga asing tanpa permit kerja sah yang terlepas masuk dan usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan