Selangor selaras pematuhan Fasa Kedua PKP

KERAJAAN Selangor menentukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kedua selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan memaklumkan PKP fasa kedua itu membabitkan perubahan waktu operasi pasar, perkhidmatan penghantaran, pengangkutan dan stesen minyak.

“Selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) hari ini, kerajaan Selangor menentukan PKP Fasa Kedua yang akan berkuat kuasa pada 1 April ini.

“Perubahan waktu operasi akan membabitkan pasar borong iaitu bermula pada jam 6 pagi hingga 4 petang; pasar awam (8 pagi – 4 petang); pasaraya, kedai runcit dan serbaneka (8 pagi – 8 malam).

“Restoran dan perkhidmatan penghantaran (delivery) dibenarkan beroperasi bermula 8 pagi hingga 8 malam; pengangkutan awam pada jam 6 pagi hingga 10 pagi serta 5 petang hingga 10 malam.

“Pengangkutan komersial pula dibenarkan beroperasi pada 7 malam hingga 7 pagi; e-hailing dan teksi (6 pagi – 10 malam) dan stesen minyak (8 pagi hingga 8 malam),” katanya.

Beliau berkata, penyelarasan lanjut dengan Pihak Berkuasa Tempatan serta Pegawai-pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah akan diselaraskan oleh Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Sungai Lui, Daerah Hulu Langat, Amirudin memaklumkan bekalan bahan makanan akan mula dibekalkan kepada semua isi rumah pada kadar serta merta bermula malam ini dan kerajaan negeri juga bersedia membantu untuk menambah jika terdapat sebarang keperluan sepanjang PKPD

“Kita akan adakan pemakluman secara menyeluruh kepada semua yang terbabit melalui Info On Wheel Jabatan Penerangan Negeri Selangor termasuk siaraya masjid dan surau di setiap kawasan tentang perkara-perkara yang perlu dipatuhi sepanjang PKPD serta maklumat yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan luar jangka.

“Jabatan Kesihatan Negeri juga perlu segera melakukan saringan Covid-19 kepada penduduk-penduduk yang berisiko tinggi di kawasan tersebut,” katanya.