Selangor larang ziarah kubur

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) tidak membenarkan sebarang aktiviti menziarahi Makam Diraja atau tanah perkuburan Islam pada perayaan Aidilfitri ini.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu dibuat bagi mengelak penularan wabak Covid-19 seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sebarang aktiviti menziarahi Makam Diraja atau tanah perkuburan Islam sepanjang Aidilfitri khususnya sebelum dan selepas solat sunat Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

“Mereka yang berhasrat untuk menziarahi kubur arwah (ahli keluarga) dalam tempoh ini boleh digantikan dengan amalan bacaan tahlil, zikir dan doa di kediaman masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengurus atau pihak yang menguruskan Makam Diraja dan tanah perkuburan Islam di Selangor juga hendaklah membantu JAIS dalam memastikan ketetapan ini dipatuhi oleh semua pihak.

“Larangan itu khusus untuk sebelum dan selepas solat sunat Aidilfitri susulan bimbang akan ada pertembungan di tanah perkuburan.

“Tempoh masa kuatkuasa bagi ketetapan ini tertakluk kepada siaran yang akan dikeluarkan JAIS kemudian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan