Sedia jual tebu secara COD

SEORANG pengusaha ladang tebu terpaksa mencari alternatif lain selepas lapan pelanggan tetapnya membatalkan tempahan gara-gara kerajaan negeri memutuskan tiada penganjuran bazar Ramadan tahun ini.

Paling menyedihkan, pengusaha terbabit belum sempat merasai ‘duit tebu’ itu memandangkan ia dijangka akan mula ditebang seminggu sebelum Ramadan.

Shaliashazwan Mohd Sahar, 24, berkata, ini tahun kedua usahanya membekalkan tebu kepada bazar Ramadan selepas kali pertama tahun lalu berjaya memberi pulangan.

“Tahun lalu, saya menyewa satu 0.4 hektar tanah di Kampung Parit, Kuala Pilah untuk membekalkan tebu kepada peniaga bazar Ramadan dan bekalan hanya cukup untuk tempoh dua minggu sahaja.

“Disebabkan permintaan tinggi, saya menyewa 1 hektar lagi tanah di Kampung Kuala Talang pada Ogos tahun lalu sebagai persiapan Ramadan tahun ini.

“Kini, dianggarkan lebih 23,000 batang tebu sedia untuk dibekalkan kepada pelanggan tetap seperti dari Semenyih, Kajang, Melaka, Port Dickson, Labu serta penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Talang, Kuala Pilah, hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, apabila kerajaan negeri mengumumkan penangguhan bazar Ramadan tahun ini, ia seolah-olah memberi satu bayangan bakal berhadapan dengan kerugian.

Katanya, semua tebu berusia lapan bulan dan ia cukup tempoh matang untuk pasaran kepada pelanggan.

“Namun semua pelanggan tetap membatalkan tempahan dan ada yang dikembalikan wang deposit.

“Buat masa sekarang saya terpaksa memerah tebu sendiri dan menghantar secara ‘cash on delivery’ (COD) bagi menampung perbelanjaan, namun permintaan agak kurang,” katanya.

Shaliashazwan berkata, paling membimbangkan apabila semua tebu akan ditebang sekiranya pucuknya mengeluarkan bunga.

Menurutnya, dianggarkan dalam tempoh tidak sampai dua bulan dari sekarang, semua tebu itu akan mengeluarkan bunga dan ketika itu rasa air tebu tidak manis lagi dan terpaksa ditebang.

“Saya mengeluarkan modal lebih RM15,000 untuk mengusahakan ladang ini.

“Buat masa ini, saya bersedia untuk melaksanakan COD sekiranya ada peniaga di daerah ini memerlukan bekalan tebu untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.