Sebak 2 bulan tak jumpa anak, isteri

“PERASAAN sayu menyelubungi diri bila mengenangkan Aidilfitri ini tidak dapat bersama keluarga yang berada di Muar, Johor kerana perlu mengutamakan tugas yang diamanahkan.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, sudah lebih dua bulan tidak bertemu anak isteri dan saya sangat merindui mereka,” kata Sarjan Mohamad Di-Afendi Jamaluddin, 33 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

Mohamad Di-Afendi berkata, kali terakhir dia pulang bercuti bertemu anak isterinya pada 16 Mac lalu dua hari sebelum PKP dikuatkuasakan.

Katanya dia sepatutnya bercuti selama seminggu namun dipanggil semula bertugas sebaik PKP bermula.

“Mujur isteri memahami kerjaya saya sebagai anggota polis dan sudah bersedia menghadapi situasi seperti ini termasuk berjauhan dengan keluarga.

“Dua bulan berpisah sangat menyiksakan apatah lagi bila diberitahu oleh isteri mengenai anak-anak yang sering merindu bapanya,” kata Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Jempol yang ditemui di IPD Jempol.

Katanya, mujur zaman teknologi ini, komunikasi menerusi panggilan video menyebabkan sedikit sebanyak kerinduan kepada anak – anak berusia satu, tiga, lima dan tujuh tahun terubat apabila melihat keletah mereka.

Mohamad Di-Afendi berkata, setiap malam sebaik menamatkan tugas sama ada di sekatan jalan raya atau unit kereta peronda, dia akan membuat panggilan video.

Katanya anak-anak sibuk bertanya bila dia akan pulang dan ada kalanya hampir menitiskan air mata mengenangkan mereka.

Justeru itu, Mohamad Di-Afendi mengucapkan terima kasih kepada isteri Azlinda Abd Jalil, 33, yang bersusah payah menjaga dan menguruskan keperluan cahaya mata mereka termasuk persiapan hari raya.

“Jika PKP tidak dilaksanakan saya sudah bercadang untuk memohon cuti raya memandangkan sudah tiga tahun tidak bercuti pada hari raya namun ia tidak menjadi kenyataan.

“Kepada rakyat Malaysia, bukan anda seorang sahaja yang terpisah selama berbulan-bulan dengan keluarga, namun bersabarlah kerana jika ditakdirkan Allah, kita akan bertemu juga ahli keluarga yang kita sayang,” katanya.