‘Saya suka sate…’

“JUADAH paling saya suka ialah sate, lebih 30 cucuk sate dimakan hari ini,” kata Giovanna Khadija Wolswijk, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu, hari ini.

Warga Itali itu sebelum ini tular di media sosial apabila memeluk Islam ketika menuntut di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan berkahwin dengan Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) UMT, Mohamad Khalies Hami Hamzah, 35, pada 14 Februari lalu.

Giovanna berkata, dia paling gemar sate berbanding juadah lain yang dihidangkan pada perayaan Aidilfitri kali ini.

Katanya, selain sate, ketupat, rendang dan nasi minyak turut dihidangkan, tetapi dia hanya sukakan sate.

“Sejak daripada malam raya (semalam) sampai sekarang lebih 30 cucuk sate sudah saya makan dan saya gembira kali pertama beraya bersama suami dan ibu bapa mentua serta keluarga.

“Biarpun terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun sambutan Hari Raya bersama keluarga di rumah ini tetap meriah.

“Baju kurung dipakai pada hari ini ialah baju kurung pertama saya kerana sebelum ini hanya meminjam baju kurung ibu mentua sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia menyediakan hidangan pai buatannya sendiri untuk keluarga dan saudara terdekat yang datang beraya.

Katanya, dia menyediakan dua biji pai buah resipi turun temurun dipelajari daripada ibu, Hendrina Johanna Van Middelkoop, 62.

“Pai buah itu ialah hidangan istimewa di masyarakat Itali, oleh itu sesuai jika dihidangkan pada Hari Raya.

“Saya siapkan makanan dari Itali untuk dirasai keluarga dan tetamu berkunjung ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Khalies berkata, dia bertuah kerana isterinya tidak cerewet dan makan apa sahaja hidangan masakan Melayu disediakan.