Saya berserah – Syed Saddiq

KETUA Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berserah kepada Allah SWT atas apa yang berlaku selepas beliau bersama empat lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dipecat daripada parti.

“BERSATU, parti pertamaku? Kepada Allah (SWT) saya berserah… Ahli Seumur Hidup No 0000006,” kata Ahli Parlimen Muar itu melalui status di laman sosial Facebooknya, malam ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi Ahli Parlimen daripada Bersatu dipecat berkuat kuasa serta merta.

Selain Mahathir, empat lagi yang dipecat adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Difahamkan, mereka dipecat atas alasan duduk di bangku pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Surat berkenaan ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Berita berkaitan

• Tun M dipecat dari Bersatu

• ‘Digugurkan keahlian, bukan dipecat’

• ‘Dangkal, tidak munasabah’