Sasar uji 4,600 sampel

PASUKAN Khas Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu mensasarkan 4,600 sampel untuk diproses dalam masa 48 jam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, 5,007 sampel sudah siap diproses bagi tempoh 8 hingga 10 April lalu.

“Bagaimanapun, jumlah sampel sedia ada dijangka akan bertambah sekiranya terdapat kumpulan sasar baharu yang dikenal pasti.

“Terkini, kita juga telah menjalankan ujian ke atas 1,390 sampel setakat kelmarin. Menerusi jumlah ini, 20 ujian menunjukkan keputusan positif termasuklah enam sampel ulangan.

“Secara keseluruhannya, 21,750 sampel daripada 241,340 orang sudah menjalani saringan pemeriksaan di Sabah,” katanya melalui kenyataan di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam pada itu, Christina berkata, daerah Tawau mencatatkan 79 kes Covid-19 setakat ini.

Beliau menyatakan berdasarkan analisis Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), 32 kes membabitkan perhimpunan tabligh Seri Petaling, 31 kes kontak generasi pertama, dua kes generasi kedua dan satu kes generasi ketiga.

“Sembilan kes lagi melibatkan tiga individu hadir di perhimpunan tabligh di Sulawesi, Indonesia selain enam tabligh warga asing manakala dua kes mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara serta satu kes sporadik dengan satu kontak.

“Selain Tawau, daerah Kota Kinabalu pula melaporkan 39 kes Covid-19 membabitkan sembilan kes hadir ke perhimpunan tabligh Seri Petaling.

“Melalui kes ini, 11 kes adalah kontak generasi pertama dan empat kes kontak generasi kedua.

“Disamping itu, 10 kes sporadik telah dilaporkan iaitu lapan kes melibatkan anggota kesihatan dan dua kes sporadik tempatan dengan satu kes generasi pertama. Terdapat satu kes yang mempunyai sejarah ke luar negara serta dua kes kontak generasi pertama.

“Dalam pada itu, satu kes merupakan kontak generasi pertama kepada kes di Tuaran yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Christina berkata, perbandingan antara dua daerah berkenaan mendapati situasi keduanya ialah berbeza.

“95 peratus kes di daerah Tawau tertumpu kepada kluster tabligh manakala di Kota Kinabalu, hanya 62 peratus kluster tabligh dan 25 peratus adalah kes sporadik.

“Pengurusan kes sporadik lebih mencabar untuk mengenal pasti punca jangkitan serta memerlukan aktiviti kawalan yang lebih luas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19