Sarawak tubuh 4 pasukan bertindak Covid-19

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini, menubuhkan empat pasukan bertindak bagi mengukuhkan lagi pengurusan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pasukan bertindak pertama yang diketuai bekas Pengarah Kesihatan negeri, Dr Jamilah Hashim, bertanggungjawab untuk melihat dan membuat cadangan mengenai kaedah mempercepatkan penurunan lengkung (curve) Covid-19 yang meningkat.

Beliau berkata, pasukan bertindak kedua yang akan diketuai Profesor Datuk Dr Andrew Kiyu dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pula bertanggungjawab meneliti dan mengemukakan cadangan mengenai kesiapsiagaan untuk menghadapi gelombang Covid-19 yang akan datang sama ada kecil atau pun lebih besar.

Katanya, pasukan bertindak ketiga bertanggungjawab untuk meneliti rancangan mengenai persediaan untuk menghadapi gelombang besar Covid-19.

“Pasukan ini akan diketuai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan beliau akan bersama dengan Pengarah Hospital Umum Sarawak, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Ketua Makmal, Ahli Farmasi dari Jabatan Kesihatan Sarawak.

“Pasukan bertindak keempat yang juga akan diketuai Dr Andrew Kiyu pula akan menganalisis masa nyata data mengenai Covid-19.

“Pasukan bertindak keempat ini akan ditugaskan untuk mengetahui data Covid-19 yang ada di Sarawak serta mendapatkan data sekerap mungkin untuk dianalisa selain membangunkan kapasiti bagi menganalisis data sama ada oleh anggota pasukan itu sendiri atau kita akan mengambil pakar dari luar,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Sementara itu, mengenai perkembangan terkini wabak Covid-19, beliau berkata, Sarawak hari ini merekodkan 15 kes baharu positif menjadikan jumlah kes di negeri ini sebanyak 363 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

“Kesemua 15 kes positif baharu itu kini dirawat di Hospital Umum Sarawak.

“Bagi kes individu dalam siasatan (PUI) pula, sebanyak 119 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,799 dan daripada jumlah itu, 2,284 kes disahkan negatif manakala 152 lagi masih menunggu keputusan makmal, “katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19