Sarawak perketat sekatan menjelang perayaan

POLIS memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Sarawak sempena sambutan Aidilfitri dan Gawai bagi mengelak penularan Covid-19.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, ia sebagai langkah mengelak orang ramai berpusu-pusu balik ke kampung halaman masing-masing meraikan perayaan itu.

“Kami nasihatkan orang ramai supaya patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) yang ditetapkan kerajaan.

“Lupakanlah tradisi balik kampung pada musim perayaan seketika dalam usaha kita memutuskan sepenuhnya rantaian Covid-19,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri dan Gawai 2020 di Kuching, hari ini.

Menjelas lanjut, Aidi berkata, masyarakat harus menerima hakikat perbezaan sambutan perayaan kali ini kesan Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Polis akan memastikan masyarakat merayakan perayaan dalam suasana yang aman dan damai.

“Kita tidak akan mengambil mudah perkara yang berkaitan dengan keselamatan masyarakat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan