Sanitasi sendiri di rumah

 

MASYARAKAT boleh melakukan sanitasi atau pembersihan sendiri di rumah dalam usaha membunuh virus Covid-19 yang kemungkinan ada di kediaman mereka.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi) Universiti Malaya Prof Dr Noran Naqiah Hairi berkata, virus ini senang dibunuh dengan air dan sabun.

Menurutnya, atas sebab itu, pihaknya selalu menasihatkan orang ramai supaya kerap membasuh tangan dengan air dan sabun selama 20 saat.

“Hal ini kerana ada bukti menunjukkan virus itu boleh berada di tempat seperti tombol pintu, jadi untuk membersihkannya juga menggunakan cara sama.

“Orang ramai juga boleh menggunakan air dengan pencuci seperti cecair pencuci lantai atau pembersih Dettol yang biasa digunakan memang mencukupi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noran Naqiah berkata, tempat penting yang sering disentuh seperti meja, suis lampu, papan kekunci dan telefon bimbit perlu kerap disanitasi.

“Virus ini boleh hidup bergantung kepada tempat dan jenis kekerapan.

“Menurut sumber Public Health Malaysia dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, Covid-19 boleh hidup selama lima hari di atas kertas wang tunai, keluli tahan karat juga lima hari dan plastik dalam dua atau tiga hari,” katanya.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19