Sangkal dakwaan makanan basi, mentah

DAKWAAN makanan basi dan mentah di Pusat Kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau tidak benar.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau merangkap Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah, Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dan sesi dialog dengan penghuni di pusat kuarantin itu baru-baru ini.

“Kami amat prihatin terhadap apa juga rungutan yang disuarakan namun melalui pertemuan bersama lebih 400 penghuni di situ, kami dapati dakwaan yang tular itu adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui media selepas memantau operasi Pasar Malam Jalan Chester di Tawau, malam tadi.

Mengulas lanjut, Amrullah berkata, ketika ini kerajaan negeri memperuntukkan RM22 sehari kepada mereka yang dikuarantin di pusat kuarantin yang diwartakan termasuk di IPG Kampus Tawau.

Katanya, peruntukkan itu jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan peruntukan di Semenanjung sebanyak RM45 sehari.

Bagaimanapun, dengan peruntukan itu juga pihaknya berusaha menyediakan menu terbaik termasuk juadah berbuka dan bersahur di pusat kuarantin berkenaan.

“Kami amat berharap kepada mereka yang masih menjalani kuarantin di IPG Tawau supaya bersabar dan memberikan kerjasama kerana pihak kami sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kesesakan di pusat kuarantin itu, beliau berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mewartakan asrama Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terletak bersebelahan IPG Tawau sebagai pusat kuarantin tambahan yang baharu.

“Kita berharap permohonan ini mendapat kelulusan segera kerana mengambil kira keadaan semasa selain faktor logistik dan lokasi yang sesuai,” katanya.