Sambutan persaraan Teacher Yuen yang sukar dilupakan

HARI Guru tahun ini menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan guru bahasa Inggeris Yuen Siew Fong apabila persaraannya diraikan secara dalam talian sehari sebelum tarikh bermakna itu.

Lebih mesra dengan panggilan Teacher Yuen, guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Perdana Jaya SS19, Subang Jaya, Selangor itu menamatkan perkhidmatannya selepas 32 tahun bergelar pendidik.

“Saya tidak sangka melalui persaraan ketika negara berdepan Covid-19. Majlis ini sungguh bermakna dan menjadi kenangan manis dan tidak akan dilupakan saya kerana esok adalah Hari Guru.

“Walaupun dijalankan secara virtual, ucapan dari rakan guru untuk kesejahteraan saya tetap menyentuh emosi saya dan akan diingati sepanjang hidup,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Teacher Yuen mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat berjumpa secara bersemuka dengan semua guru dan muridnya, namun beliau akur dengan situasi yang sedang melanda negara kini.

“Mungkin saya lebih sedih sekiranya diraikan dalam majlis kerana melihat murid yang diajar, malah bertambah sedih kalau ada murid yang datang memeluk saya,” katanya mengakhiri perbualan.

Pada majlis sama, seorang Pembantu Am Rendah sekolah itu iaitu T Vijekumar atau lebih dikenali dengan panggilan Uncle Kumar turut diraikan persaraannya selepas lebih 20 tahun berkhidmat di sekolah itu.

Sementara itu, Guru Besar Shahir Redzuan Musa, berkata majlis persaraan dalam talian secara Google Meet itu dilaksanakan buat pertama kali dalam sejarah sekolahnya susulan pandemik Covid-19.

Katanya, mengikut perancangan asal, sekolah sudah merancang mengadakan majlis sambutan untuk kedua-duanya tetapi tidak dapat diteruskan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memandangkan belum tahu bila persekolahan bermula, kami berpakat mengadakan majlis persaraan untuk Teacher Yuen dan Uncle Kumar secara dalam talian.

“Pada majlis itu, seramai 38 warga sekolah, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan guru lama menyertai program dari rumah masing-masing untuk memberi ucapan kepada Yuen dan Uncle Kumar,” katanya.

Menurutnya, pada akhir majlis, semua peserta menunjukkan kertas bertulis selamat bersara pada skrin yang penuh simbolik sebagai penghargaan di atas jasa dan pengorbanan mereka bertugas di SK Perdana Jaya SS18 sebelum ini.

Yuen dan Uncle Kumar turut menerima kejutan apabila sejambak bunga sebagai tanda penghargaan dihantar kepada mereka.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan