Sambung reman 3 suspek bunuh budak

TIGA suspek yang ditahan berhubung kes bunuh kanak-kanak perempuan warga asing di hadapan pusat beli-belah di Jalan Memanda 3, Ampang, 11 Mei lalu disambung reman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, lelaki dan dua wanita warga asing itu direman sehingga 22 Mei dan kes akan ditaklimatkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pengawal keselamatan menemui mayat kanak-kanak itu di lokasi kejadian pada 9.50 pagi.

Siasatan awal mendapati kanak-kanak yang botak itu berusia dalam lingkungan enam tahun dan berpakaian lengkap.

Mangsa yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditemui dalam keadaan terbaring di atas bahu jalan.

Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa mendapati ada kesan lebam di beberapa anggota badan termasuk lengan dan badan.

Mangsa dipercayai dipukul ayah tirinya menggunakan objek tumpul kerana dikatakan enggan makan.

Berita berkaitan:

  • Tiga suspek bunuh kanak-kanak direman
  • Kejam sungguh!