Sabah terima 166,000 penutup hidung dan mulut

SABAH menerima 83 kotak berisi 166,000 topeng muka sumbangan Republik China.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sumbangan terbabit adalah kerjasama yang sudah dizahirkan antara kerajaan negeri bersama Konsulat China di Sabah.

“Sumbangan ini adalah sebahagian dari 170,000 kotak barangan perubatan yang diberikan China kepada negeri ini.

“Manakala keperluan perubatan lain termasuklah sut alat perlindungan diri (PPE), kit percubaan dan cecair basmi kuman (hand sanitizer) dijangka bakal diterima pada minggu hadapan.

“Saya juga sudah memaklumkan berkaitan perkara ini kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Ia turut meliputi bantuan kepakaran yang kita sudah minta daripada republik sama supaya boleh membimbing dan melatih semua petugas perubatan seperti doktor serta jururawat yang ada bagi menangani wabak ini,” katanya.

MOHD Shafie Apdal (kanan) meninjau peralatan yang tiba. FOTO YUN MIKAIL
MOHD Shafie Apdal (kanan) meninjau peralatan yang tiba. FOTO YUN MIKAIL

Mohd Shafie berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan ketibaan peralatan perubatan terbabit di terminal dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dekat sini, hari ini.

Turut hadir Konsul General China ke Sabah, Liang Caide, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata keadaan penularan wabak Covid-19 di Sabah masih dalam keadaan terkawal membabitkan 197 kes positif setakat semalam manakala hanya sorang kematian dilaporkan setakat ini.

“Bagaimanapun, kita sudah mengenalpasti pendekatan yang membolehkan kita membendung masalah ini dari terus berlarutan.

“Kerjasama antara polis, tentera dan Rela turut diperketatkan bagi memastikan kita dapat mengawal pergerakkan rakyat di negeri ini untuk membendung penularan wabak.

“Kita juga sedang melihat kemudahan yang boleh diperoleh dalam negara selain cecair basmi kuman serta pakaian kegunaan perubatan yang boleh diperolehi daripada China.

“Sekiranya inisiatif ini dapat dilaksanakan, kita dapat membantu anggota barisan hadapan di hospital untuk mempunyai perlindungan diri,” katanya.

Terdahulu, penerbangan sewa khas menggunakan pesawat Air Asia terbabit berlepas daripada Kota Kinabalu pada 5.30 pagi hari ini dan tiba di Canton, China pada 8.45 pagi.

Penerbangan sama bertolak semula ke Kota Kinabalu sekitar 9.45 pagi dan tiba pada 3.15 petang hari sama.