Sabah tangguh dulu solat Jumaat berjemaah esok

SABAH masih meneruskan penangguhan solat berjemaah termasuk solat Jumaat serta tarawih di masjid dan surau di negeri ini.

Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, penangguhan masih berkuatkuasa sehingga 26 Mei hadapan.

“Setakat ini, Sabah tetap tidak membenarkan sebarang aktiviti menunaikan solat secara berjemaah.

“Langkah ini diambil bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah masjid mahupun surau.

“Ia lebih membimbangkan dengan wujudkan kluster baharu dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkaitan kebenaran mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu selain solat sunat tarawih serta solat sunat Aidilfitri di Wilayah Persekutuan.

Zulkifli dilaporkan berkata, solat Jumaat sudah boleh dilaksanakan bermula esok manakala solat lain secara berjemaah dibuat secara berperingkat.

Bagaimanapun, beliau berkata bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang daripada tiga orang, tidak termasuk imam dan tidak lebih daripada 30 orang.