Sabah catat pertambahan jangkitan Covid-19

SABAH merekodkan peningkatan 10 kes positif Covid-19 baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Sabah sebanyak 327 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, pertambahan membabitkan empat kes di Lahad Datu, Semporna (tiga kes), Keningau (dua kes) dan Tawau (satu kes).

“Keningau kini mencatatkan kes aktif tertinggi iaitu lapan kes aktif, diikuti Lahad Datu sebanyak lima kes aktif manakala Tawau, Kota Kinabalu dan Semporna masing-masing dengan empat kes aktif.

“Selain itu, terdapat juga pertambahan empat kes pulih hari ini sekali gus menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 290 kes,” katanya menerusi laman sosial rasmi Facebook miliknya, malam ini.

Dalam pada itu, Frankie berkata, jumlah korban akibat jangkitan wabak Covid-19 di Sabah kekal empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau dan Tambunan setakat hari ini.

Katanya, Sabah kini berada di kedudukan keenam mencatatkan kes tertinggi Covid-19 di Malaysia.

“Sementara itu, satu kluster membabitkan tabligh di Tawau berjaya ditamatkan dengan enam jumlah kes direkodkan yang sudah ditamatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19