Rumaizi Datuk Bandar Ipoh baharu

PENGARAH Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak Datuk Rumaizi Baharin dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu berkuat kuasa 1 April lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Rumaizi menggantikan Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang memangku jawatan itu apabila dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada Disember tahun lalu.

“Datuk Rumaizi mempunyai pengalaman luas dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri dan Pengarah yang termuda dilantik ke jawatan Pengarah PTG (negeri).

“Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran dan Pengurusan Tanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” katanya dalam kenyataan di Ipoh, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri yakin dengan pengalaman dan kemahiran dimiliki beliau akan membantu melonjakkan kualiti perkhidmatan dan pembangunan Majlis Bandaraya Ipoh.