Rumah mewah jadi stor mercun

TINDAKAN dua lelaki menjadikan rumah mewah sebagai stor penyimpanan mercun di Batu Pahat terbongkar apabila polis menyerbu lokasi itu, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam serbuan 2.30 petang itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 49 dan 57 tahun.

Beliau berkata, mereka menjadikan rumah di kawasan perumahan mewah itu sebagai tempat menyembunyikan mercun itu bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati, mereka mahu menjual mercun itu bagi pasaran di daerah ini sempena sambutan Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Dalam pada itu Azhan berkata, di lokasi berasingan, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 21 dan 29 di sebuah rumah di Yong Peng, pada 1.30 pagi semalam, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar mercun dan minuman keras seludup.

Katanya, kedua-dua lelaki itu dipercayai mengedar mercun dan minuman keras itu ke kedai runcit yang tidak berlesen di sekitar pekan iyu.

“Anggaran nilai rampasan adalah mercun dan minuman keras berkenaan adalah RM30,000,” katanya.

Katanya, kedua-dua tangkapan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135(1) (d), Akta Kastam 1967.

“Bagi tangkapan pertama, suspek dibawa direman selama lima hari sehingga esok, manakala bagi tangkapan kedua, suspek direman empat hari sehingga Khamis ini.

“Polis menyeru orang ramai memberikan maklumat sekiranya terlihat atau mengetahui kegiatan penjualan mercun di talian Pusat Kawalan IPD Batu Pahat, 07-4343999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.