Rumah berseri dihiasi 400 pelita raya

“SAYA membelanjakan RM200 untuk membuat 400 pelita raya bagi menghiasi kawasan halaman rumah,” kata Zaleha Matmin, 58, dari Kampung Padang Hangus, Tepuh, Kuala Nerus.

Katanya, pelita raya dipasang dalam pelbagai bentuk itu bukan sahaja menjadikan kawasan halaman rumahnya ceria menyambut Aidilfitri, malah turut mengembalikan nostalgia ketika zaman kanak-kanak.

“Saya mula memasang pelita raya ini pada 1993 dan ketika itu hanya 50 biji sahaja pelita dibuat menggunakan tin minuman.

“Tetapi, kini selepas kerajaan negeri menganjurkan pertandingan pelita raya setiap kali menjelang Aidilfitri, saya dan suami, Mat Kasim Mat Isa, 63, mereka pelbagai bentuk replika pelita raya bagi menambahkan lagi suasana ceria di perkarangan rumah,” katanya.

Menurutnya, replika pelita raya dibuat mengikut tema dan keadaan semasa bersesuaian dengan keadaan negara yang diserang wabak Covid-19.

Katanya, mereka mengambil kesempatan menghiasi pelita raya dengan kata-kata peringatan ‘stay at home’ dan ‘duduk rumah’ selain replika kapal layar menggunakan batang pokok dan paku dihiasi 200 biji pelita raya.