Rugi RM100,000 diperdaya Macau Scam

SEORANG lelaki mengalami kerugian RM100,000 akibat ditipu Macau Scam di Lukut, Port Dickson, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 47 tahun itu, sebelum ini menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menyatakan dari perkhidmatan Pos Laju.

Katanya, lelaki itu memaklumkan mangsa ada membuat kiriman barang dari Kelantan ke Sabah, yang mengandungi beberapa kad pengenalan serta kad kredit dan ia adalah kesalahan menyebabkan panggilan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

“Mangsa pada mulanya menafikan mengenai barang itu, tetapi seorang lelaki menyamar sebagai pegawai polis itu kemudiannya memberitahu mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram berjumlah RM237,000.

“Pada 9 pagi 31 Mac lalu, lelaki menyamar sebagai polis memberitahu waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mangsa dan mereka mengarahkan supaya mangsa memindahkan wang miliknya ke akaun Audit Negara bagi tujuan siasatan punca wang dimiliki mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pada 2 petang mangsa memindahkan wang miliknya berjumlah RM100,000 ke sebuah akaun milik Madam Siti Zaleha Masi yang kemudiannya baru sedar dirinya ditipu selepas gagal menghubungi lelaki itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.