Rugi RM1,000 sehari, sayur tak terjual

SEORANG petani di Kampung Lepan Jaya, dekat Gua Musang menanggung kerugian hampir RM1,000 sehari selepas sayur tanamannya tidak dapat dipasarkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu

Mohd Jailani Mat Jusoh, 46, berkata, dia bimbang lanjutan PKP sehingga 14 April depan menambahkan kerugian manakala lapan pekerjanya hilang sumber pendapatan.

Katanya, tanaman sayur di kawasan kebun baru membabitkan keluasan 0.8 hektar terpaksa ditangguhkan sehingga penularan wabak Covid-19 pulih.

Dia berkata, setiap hari hasil tanaman khususnya timun batang adalah sebanyak 800 kilogram tetapi hanya sekitar 200 kilogram saja dapat dipasarkan.

“Itupun, kami merayu kepada dua pengurusan pasar raya di bandar ini supaya mengambil 200 kilogram timun batang setiap hari.

“Jika tidak, kami menanggung kerugian lebih besar dan beratus kilogram lagi yang tidak dipasarkan terbiar di kebun selain disedekahkan kepada penduduk berdekata,” katanya ketika ditemui di Kampung Lepan Jaya, hari ini.

Jailani berkata, dia mengusahakan kebun sayur itu setahun lalu bagi memenuhi pasaran dan permintaan di sekitar daerah ini.

“Kita patuh dengan arahan PKP tetapi yang sedihnya tidak ada agensi kerajaan berkaitan datang membantu,” katanya.

Dia berkata, kebunnya mengupah lapan belia yang bekerja sambil belajar mengenai pertanian moden menggunakan kaedah konvensional dan sistem fertigasi.

“Saya berat hati untuk memberhentikan sementara mereka daripada bekerja, jadi saya berharap pihak yang berkaitan dapat membantu kami,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan