Ruang Nyah Kuman di Pasar Besar Machang

PASAR Besar Machang menjadi pasar basah pertama di Kelantan menyediakan Ruang Nyah Kuman yang direka khas dan diletakkan di pintu masuk utama untuk kegunaan pengguna di pasar berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Ruang Nyah Kuman yang direka itu adalah sebagai satu langkah bagi memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19.

Katanya, mesin khas yang disediakan oleh Majlis Daerah Machang (MDM) bertujuan untuk mencegah serta membasmi kuman di kawasan tumpuan awam bagi mengelakkan risiko jangkitan wabak Covid-19 selain memastikan pengunjung dan penjual yang keluar masuk pasar dalam keadaan bersih dari kuman.

“Dengan adanya Ruang Nyah Cemar ini, ia sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung di pasar agar mereka lebih yakin untuk membeli barangan keperluan harian tanpa ada rasa was-was.

“Ruang Nyah Cemar dilengkapi dengan alat peranti automatik ini adalah sebagai usaha untuk melengkapkan kawalan kebersihan sanitasi di Pasar Besar Machang. Sebelum ini sanitari harian juga sudah dilakukan bermula pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ruang Nyah Kuman di Pasar Besar Awam Machang, di Machang, hari ini. Hadir sama, Yang Dipertua MDM Wan Mohd Shuhaimi Wan Mustapha.

Dalam majlis itu, Mohamed Fadzli turut menyerahkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Machang, Pejabat Kesihatan Machang dan MDM.

Sementara itu, Wan Mohd Shuhaimi berkata, Ruang Nyah Kuman itu dihasilkan lapan kakitangan MDM dari Unit Kejuruteraan MDM yang mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan.

“Ruang Nyah Kuman ini dilengkapi dengan enam pancuran yang mengeluarkan semburan cecair nyah kuman dan beroperasi secara automatik apabila individu memasuki ruang yang dikesan oleh ‘Montion Sensor’.

“Sistem semburan ini akan berfungsi selama 10 saat sehingga tiada pergerakan dikesan. Sebelum memasuki Ruang Nyah Kuman ini, pemeriksaan suhu oleh petugas dilakukan ke atas pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke pasar,” katanya.

Katanya, pemilihan Ruang Nyah Kuman berkenaan diletakkan di Pasar Besar Machang berikutan statistik pengunjung di pasar yang semakin berkurangan sejak penularan wabak Covid-19.

“Statistik pengunjung pasar sebelum ini adalah seramai 400 orang sehari, namun sejak penularan wabak ini ia menurun sebanyak 150 sehari sekali gus memberi kesan kepada 250 peniaga di pasar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli berkata, pemantauan pematuhan PKP digerakkan melalui penubuhan pasukan khas pemantauan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), MDM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Penerangan yang diselaraskan Pusat Kawalan Operasi Bencana Jajahan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan