RM27,000 lesap

KILANG memproses beras dan tepung di Permatang Janggus, Penaga, Kepala Batas dipecah masuk tiga penjenayah kelmarin yang berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM27,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima laporan daripada pengurus kilang terbabit berhubung insiden itu.

“Mangsa menyedari kejadian itu apabila dia datang ke tempat kerja pada 1 tengahari semalam sebelum mendapati ruang pejabatnya dalam keadaan berselerak selain dinding cermin di bahagian belakang dipotong.

“Selepas itu, mangsa terus membuat pemeriksaan pada peti besi yang menjadi tempat dia menyimpan wang dan terkejut apabila peti itu dalam keadaan terbuka dan wang RM27,000 yang disimpannya sudah hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bahagian luar kilangnya.

“Dalam rakaman itu terdapat imej tiga lelaki tidak dikenali memakai penutup muka dan bersarung tangan masuk melalui pintu belakang kilang pada 1 pagi kelmarin.

“Ketiga-tiga suspek itu mengambil masa lebih tiga jam melakukan kegiatan jenayah mereka apabila didapati keluar dari kilang itu pada 4.26 pagi,” katanya.

Noorzainy berkata, kilang itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang namun ketika kejadian tiada sesiapa memandangkan semua pekerja bercuti menyambut Aidilfitri.

“Polis dalam usaha mengesan suspek terbabit dan orang awam yang ternampak individu mencurigakan boleh menghubungi polis untuk tindakan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.