Rindu nak makan lauk lain

“RINDU nak makan lauk lain,” kata penduduk Kampung Parit Salman, Hafrizan Kaliwon, 45, yang terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM).

Masuk hari ke-18 hari ini, Hafrizan mengakui dia dan keluarga teringin menikmati lauk selain ayam, sardin dan telur ayam.

Katanya, bukan tidak berterima kasih dengan semua bantuan yang diberikan oleh kerajaan sepanjang PKPD namun keinginan untuk merasa lauk lain tetap ada kerana apa yang mereka dapat adalah barang yang sama setiap hari.

“Kami merasakan perlu diberikan kelonggaran kepada salah seorang wakil keluarga keluar untuk mendapatkan barang keperluan harian lain dengan syarat tertentu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Seorang penduduk Kampung Parit Salam, Rafidah Lokman, 42, dia terkesan selain trauma apabila diperintahkan berkurung di dalam rumah.

Namun dia juga sedar apa yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah untuk kebaikan semua pihak ketika negara dilanda penularan wabak Covid-19.

“Memang kadang-kadang rasa jemu apabila makan lauk sama tetapi kami bersyukur kerana masih ada makanan untuk keluarga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan