Rezeki jual ‘tanah’

REZEKI seorang peneroka di Felda Palong 3, Jempol, yang menjual tanah semaian untuk kegunaan pertanian meningkat dua kali ganda sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Janian Samad, 69, berkata, sepanjang PKP berlangsung, dia mendapati aktiviti bercucuk tanam mula menjadi hobi penduduk di situ dan ia meningkat mendadak kerana peneroka dilarang keluar rumah bagi menghalang penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Menurutnya, dia mengusahakan perniagaan menjual tanah semaian untuk tanaman sayur-sayuran itu sejak setahun lalu, namun ketika PKP ini permintaan amat menggalakkan.

“Pada mulanya, saya bimbang kalau-kalau PKP ini menjejaskan pendapatan seperti yang dialami kebanyakan peniaga lain, namun itulah yang dikatakan rezeki.

“Permintaan terhadap tanah semaian meningkat dua kali ganda daripada sebelum ini dan saya mengambil inisiatif membuat perkhidmatan penghantaran secara cash on delivery (COD) kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Janian yang juga pemilik Maju Ternak Enterprise berkata, selain menjual tanah semaian, dia juga membekalkan makanan ternakan serta ubat-ubatan, kayu api, baja organik daripada najis kambing dan ayam.

“Selain itu, saya juga turut memberi khidmat nasihat kepada pelanggan berhubung kaedah penanaman yang betul agar tanaman yang diusahakan bukan sekadar mengisi ruang kosong sewaktu PKP, tetapi boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Katanya, dia berharap sekiranya tempoh PKP tamat nanti, masyarakat akan terus bercucuk tanam di kawasan rumah kerana ia menguntungkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan