Resah hati Rozaki terjawab jua

“DALAM hati ini ada juga perasaan bimbang berdepan dengan kesuntukan peruntukan untuk saya terus menjaga anak-anak ini.

“Saya hanya berserah pada Tuhan dan tidak putus berdoa agar Tuhan terus membuka hati mereka untuk terus menderma dan menyumbang,” kata Mohammad Rozaki Yusof Pengerusi Rumah Anak Yatim Al Hijrah, Kemaman.

Rozaki berkata, beliau sebelum ini sangat aktif dalam bidang kebajikan bersama badan bukan kerajaan (NGO) sebelum mengambil keputusan menabur bakti kepada anak yatim di kawasan Kemaman.

“Ketika itu, saya dapati ramai anak yatim di daerah ini, tiada sebuah pun rumah anak yatim di sini, jadi saya ambil keputusan membina sebuah rumah untuk mereka.

“Atas sokongan isteri dan rakan, saya menyewa lima unit rumah teres di Taman Alam Perdana di Kemaman ini untuk dijadikan pusat jagaan ini dan Alhamdulillah ia beroperasi sehingga hari ini,” katanya ketika menerima sumbangan barangan makanan dan wang tunai sebanyak RM5,000 sempena program Titipan Kasih Ramadan 2020 Harian Metro.

Majlis penyampaian sumbangan itu dilakukan oleh Pengarang Eksekutif (Kandungan) Muhammad Safar Ahmad dengan turut dihadiri wakil daripada Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Mohd Arislan Norwadi serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman Mohammad Rozaki Yusof.

Rozaki berkata, tindakan beliau membina rumah anak yatim terbabit bukanlah berniat untuk mencari nama sebaliknya berhasrat mendidik anak-anak yatim terbabit menjadi insan yang mulia di dunia dan akhirat.

“Setakat hari ini, saya berjaya mendidik seramai 70 anak yatim dan kebanyakannya sudah bekerjaya dan masih menuntut di universiti di seluruh negara.

“Saya sangat gembira apabila hampir semua anak didikan saya ini kembali menemui saya termasuk memberi sokongan kepada adik-adik mereka yang masih berada di sini,” katanya.

Katanya, setakat hari ini, seramai 24 pelajar terdiri daripada 12 lelaki dan 12 perempuan berusia antara 10 tahun hingga 19 tahun masih berada di pusat jagaannya itu.

“Saya mempunyai enam pembantu yang bertindak menjadi pendidik, warden, tukang masak untuk menguruskan anak-anak berkenaan.

“Alhamdulillah isteri saya dan menantu saya turut sama membantu saya dan sokongan mereka semua memberikan kekuatan untuk saya terus berjuang untuk anak-anak ini,” katanya.

Rozaki berkata, setiap bulan beliau perlu menyediakan kos pengurusan sebanyak RM10,000 untuk membayar sewa bangunan, gaji kakitangan dan kos makan minum anak-anaknya itu.

“Apa yang paling saya takut adalah soal kekurangan dana, sebab itu saya tak putus berdoa dan berserah kepada Tuhan kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada masa depan.

“Setakat ini saya bersyukur dan berterima kasih kepada ramai yang membantu untuk saya terus menggalas tugas mencabar ini,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak mengenakan sebarang caj bayaran kepada anak-anaknya itu dan segala urusan kos penghantaran anak-anaknya ke sekolah, universiti dan makan minum adalah percuma.

“Selagi ada kudrat saya akan terus berusaha memberi pendidikan dan menjaga anak-anak ini kerana bagi saya ini merupakan satu amanah yang harus dipikul,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada usaha Harian Metro, Plus Malaysia Berhad (PLUS) dan LPT2 yang sudi membantu demi menjayakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Program Titipan Kasih Harian Metro.

“Semoga program ini yang sudah berlangsung sejak 13 tahun dahulu ini dirahmati Tuhan dan dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Safar berkata, program Titipan Kasih Harian Metro dengan kerjasama daripada PLUS dan LPT2 bertujuan membantu segelintir masyarakat yang masih hidup serba kekurangan supaya dapat menjalani ibadat puasa dengan lebih baik.

Menurutnya, kerjasama itu berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM65,000 untuk disumbangkan kepada 13 rumah kebajikan seperti rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya di Semenanjung.

“Empat daripada rumah kebajikan berkenaan ditaja oleh LPT2 di kawasan pantai timur manakala selebihnya ditaja PLUS,” katanya.