Remaja rempuh polis [METROTV]

SEORANG anggota polis cedera dilanggar motosikal ditunggang seorang remaja yang cuba melarikan diri selepas didapati menyaksikan lumba haram di Kangar, semalam.

Pada kejadian berkenaan, anggota berkenaan cedera di bahagian dahi dan perut.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Asisten Superintendan Mohd Rizal Emran berkata, kejadian ketika pihaknya mengadakan operasi khas di di Jalan Kuala Perlis – Changlun dekat Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis.

Beliau berkata, remaja berusia 18 tahun itu terkejut dengan kepungan polis sebelum menghidupkan enjin motosikal dan melanggar seorang anggota.

“Dia yang ketika itu menjadi penonton di bahu jalan bersama rakan pembonceng memberikan alasan bahawa terlepas klac motosikal sehingga melanggar anggota polis.

“Namun, alasan itu tidak munasabah kerana ramai orang awam dan anggota polis yang menyaksikan kejadian berkenaan.

“Anggota polis terbabit mendapat kecederaan kerana terjatuh di atas jalan raya sewaktu menghalang mereka daripada melarikan diri,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan, malam tadi.

INDIVIDU yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan Polis
INDIVIDU yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan Polis

Dalam operasi berkenaan, seramai 45 individu berusia 16 hingga 21 tahun ditahan polis selepas didapati berhimpun selain menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di kawasan berkenaan.

Mohd Rizal berkata, anggota terbabit dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, pada operasi sama, suami isteri masing-masing berusia 18 tahun ditahan kali kedua selepas didapati berhimpun bagi menyaksikan aksi lumba haram.

“Sebelum ini, pasangan terbabit pernah ditahan dalam satu serbuan di Jalan Sungai Batu Pahat, malah pada serbuan itu juga mereka hanya berkumpul bagi menyaksikan lumba haram.

“Tetapi mereka masih tidak serik meskipun si isteri sedang hamil empat bulan,” katanya.

Mohd Rizal berkata, dalam operasi yang tamat 11.30 malam itu sebanyak 71 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain tiga motosikal disita kerana didapati digunakan untuk berlumba.

Katanya, tiga remaja berusia 18 tahun akan dibawa reman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) dan 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.