Remaja maut rempuh lori

SEORANG remaja maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori di km 82, Jalan Ipoh-Butterworth di Taiping, malam tadi.

Dalam kejadian 7.40 malam, Muhammad Aiman Azhari Mohd Shaiful Azhari, 19, yang juga pekerja kilang pembuatan sarung tangan getah, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dari arah Kamunting menghala Simpang dipercayai gagal mengelak lori yang dipandu warga emas berusia 61 tahun.

“Lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok memasuki simpang kanan berdekatan sebuah stesen minyak menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh lori terbabit.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu lori terbabit, justeru tangkapan ke atasnya dilakukan selain kedua-dua kenderaan yang terbabit ditahan bagi menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Osman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa akan dibedah siasat 10 pagi hari ini.

“Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.