Ratusan rakyat Malaysia bekerja di Singapura pulang

RATUSAN rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mulai tiba di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor Bahru, sejak jam 5.30 petang tadi.

Kepulangan mereka susulan tindakan Singapura mengarahkan beberapa perkhidmatan di republik itu dihadkan selain menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan bermula esok bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pembantu Produksi sektor Elektrik di Singapura, Nur Hamidah Jamal, 30, berkata, dia bersama puluhan rakyat Malaysia sudah mulai berjalan kaki meninggalkan republik itu pada 4.30 petang tadi.

Katanya, dia mengambil masa satu jam berjalan melintasi Tambak Johor berikutan membawa beberapa beg dan barangan peribadi lain.

“Selalunya saya hanya mengambil masa 20 minit berjalan melintasi Tambak Johor tetapi hari ini agak perlahan disebabkan membawa barangan dan beg.

“Sejurus tiba di CIQ BSI tadi, saya beratur lebih dua jam bagi melepasi pemeriksaan pihak berkuasa Malaysia termasuk disaring alat pengukur suhu thermal.

“Selain itu, rakyat Malaysia yang pulang ke Malaysia wajib mengemukakan borang pengisytiharan keluar Singapura selain sijil kesihatan yang mengesahkan diri sihat dan tidak ada simptom apa-apa penyakit sebelum dibenarkan melepasi pemeriksaan.

“Alhamdulilah, jam 7 tadi saya dibenarkan melepasi pemeriksaan pihak berkuasa Malaysia. Dapatlah saya lepaskan kerinduan pada anak-anak dan suami yang sudah 20 hari saya tinggalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ” katanya ketika dihubungi.

NSTP hari ini melaporkan, ribuan pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dijangka akan mula bergerak balik hari ini dengan berjalan kaki merentasi Tambak Johor.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media di Putrajaya petang tadi berkata, puluhan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berhasrat untuk pulang ke Malaysia tidak dibenarkan berbuat demikian.

Ia selagi rundingan di antara Menteri Luar kedua-dua negara yang dijadualkan diadakan esok belum mencapai kata sepakat tentang langkah keselamatan yang perlu diambil.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan