Ramai tak setuju kedai gunting rambut beroperasi [METROTV]

HAMPIR 90 peratus pengguna tidak bersetuju perkhidmatan gunting rambut diberi kebenaran untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa di negara ini.

Berdasarkan kaji selidik di Facebook Harian Metro sejak 2 petang hari ini, hanya 10 peratus daripada hampir 41,000 pembaca bersetuju dengan keputusan kerajaan itu.

Kaji selidik sama turut dilakukan di Twitter Harian Metro yang menyaksikan 87 peratus daripada lebih 3,700 pengguna tidak bersetuju dengan langkah membenarkan perkhidmatan itu beroperasi selagi wabak Covid-19 belum berakhir.

Sehingga 7 malam tadi, lebih 44,000 pengguna menyertai undian itu dengan sebahagiannya turut meninggalkan reaksi masing-masing di ruangan komen berhubung isu berkenaan.

Antaranya, pengguna yang menggunakan nama Shahrul Din yang menyifatkan gunting rambut boleh dilakukan sendiri di rumah.

“Gunting sendiri di rumah. Tidak perlu gaya. Ambil yang mudah, (contohnya) kasi botak. Anak pun boleh tolong guntingkan,” tulisnya.

Pandangan serupa turut dikongsi Nazrul Naim yang memohon kerajaan mengkaji semula jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula sepanjang tempoh PKP fasa ketiga ini.

“Ini bukan makin ketat tetapi makin longgar kerana banyak operasi membabitkan ramai orang terutamanya pekerja, benda ni dibimbangi wujudkan kluster baru pula,” katanya.

Manakala Zeq Maariff berkata, pengalamannya sebagai bekas tukang gunting rambut membuatkannya melihat kedai gunting rambut kurang sesuai untuk dibenarkan beroperasi pada masa ini.

“Setiap pelanggan berisiko membawa virus Covid-19 dan setiap peralatan yang kami gunakan tidak mungkin dapat dibersihkan 100 peratus untuk setiap guntingan.

“Setiap helai rambut yang jatuh di lantai atau berterbangan di meja juga tidak mungkin dapat kami bersihkan untuk setiap kali pelanggan bertukar,” katanya.

Bagaimanapun, bagi Razzy Raz, jika pemilik kedai gunting rambut memutuskan untuk beroperasi, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan perlu diikuti sepenuhnya.

“Contohnya, hanya dua pelanggan dibenarkan memasuki kedai pada satu masa dan operasi perniagaan juga dihadkan kepada tiga hari seminggu bermula 10 pagi hingga 3 petang misalnya,” katanya.

Susulan kebenaran beroperasi yang diperluaskan kepada beberapa jenis perniagaan termasuk kedai gunting rambut, warganet mulai risau jika langkah itu boleh membawa risiko pertambahan kes Covid-19 sedia ada.

Ia diikuti dengan laporan luar negara antaranya Mississippi, Amerika Syarikat yang mencatatkan kematian membabitkan tukang gunting rambut selepas mangsa dikatakan terus menerima pelanggan ketika pandemik Covid-19 masih menular.

Beberapa persatuan membabitkan perkhidmatan gunting rambut juga dilaporkan meminta ahli masing-masing tidak membuka premis perniagaan mereka meskipun lampu hijau sudah diberi kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan