Rakyat makin patuh arahan PKP

FASA kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kepala Batas menunjukkan perkembangan positif apabila lima sahaja individu ditahan mengingkari arahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lima tangkapan itu dibuat anggotanya di beberapa lokasi antara jam 6 petang hingga 11 malam tadi.

Menurutnya, pematuhan masyarakat di sekitar daerah itu mula tinggi berbanding fasa pertama dan berharap ia berterusan sehingga PKP berakhir.

“Tangkapan fasa kedua membabitkan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada hari terakhir fasa pertama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai menahan 24 individu kerana melanggar PKP.

Jumlah keseluruhan individu yang ditahan sepanjang Op Covid fasa pertama di daerah itu berjumlah 138 orang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan