Raikan Aidilfitri dengan ‘realiti baru’

PENULARAN wabak Covid-19 di seluruh dunia menyebabkan masyarakat Islam terpaksa meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan ‘realiti baru’.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, masyarakat harus akur nasihat untuk terus duduk di rumah dan dikehendaki mematuhi arahan ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, kerajaan Persekutuan dan negeri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian wabak itu.

“Kita perlu sentiasa mengguna pelitup muka, sarung tangan, mengamalkan jarak sosial serta mengelak berada tempat sesak,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Abdul Taib berkata, Sarawak mencapai pembangunan dan kemajuan yang amat memberangsangkan hasil kebolehan menjaga perpaduan dan hubungan baik antara rakyat pelbagai etnik, kepercayaan agama dan latar belakang.

“Walaupun orang Islam di Sarawak adalah minoriti, pemimpin Islam bersama bukan Islam bekerjasama mentadbirkan negeri dengan adil dan saksama, sentiasa bertoleransi dan hormat-menghormati,” katanya.

Taib turut yakin sokongan rakyat yang padu kepada perjuangan kerajaan selama ini akan terus kekal di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi menyambung perjuangan mencapai status negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi.

“Sarawak mempunyai agenda pembangunan untuk mencapai taraf negeri terkaya dan maju menjelang 2030.

“Untuk itu, Abang Johari melaksanakan beberapa program yang khusus untuk mentransformasikan pembangunan luar bandar membawa Sarawak ke taraf lebih maju dan progresif,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan