Rahmat tersirat di sebalik PKPB

WALAUPUN keadaan agak suram berbanding tahun sebelumnya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut memberi rahmat apabila membuka kaedah lain mempromosi jualan serta mampu meluangkan lebih masa bersama pelanggan setia.

Penjual kuih raya popular di Johor, Mohd Naharudin Isa atau Nahar Power berkata, pengalaman ini menjadi nostalgia serta kesempatan meluangkan masa lebih lama bersama pelanggannya.

“Sebelum ini mungkin terlalu sibuk dengan ramai pelanggan termasuk dari negeri lain dan negara jiran hingga ada masanya tidak dapat meluangkan masa lebih lama dengan seseorang pelanggan.

“Bagaimanapun, disebabkan PKPB, saya kini lebih santai dan boleh berbual mesra dengan pelanggan.

“Alhamdulillah, saya akui keadaan agak mencabar, namun ia memberi peluang mengimbau nostalgia ketika mula berniaga 20 tahun lalu, kami disokong sepenuhnya warga Johor dan inilah yang berlaku tahun ini,” katanya.

Menurutnya, selain berniaga di kedainya di Angsana Johor Bahru Mall, PKPB menyebabkan dia aktif mempromosikan produk di media sosial.

Katanya, warga Johor dilihat lebih efisien menggunakan masa apabila pelanggan hanya akan membeli-belah untuk beberapa jam sebelum beredar berbanding sebelum ini.

“Jualan saya merosot 50 peratus apabila PKP bermula 18 Mac lalu dan langkah pelaksanaan PKPB ternyata memberi peluang kedua dan sinar baru bagi peniaga seperti saya.

“Sebelum PKP, saya memang sudah beli banyak bahan mentah seperti tepung dan gula untuk membuat stok kuih raya. Alhamdulillah, saya dapat berbincang dengan pembekal dan separuh bahan mentah dapat dipulangkan semula.

“Tahun ini tiada pelanggan tetap datang membeli khususnya dari Singapura dan Kuala Lumpur. Memang kurang jualan 50 peratus berbanding tahun lalu, tetapi tetap bersyukur kerana pelanggan dari kawasan setempat datang membeli,” katanya.