Pukul anak, baling dengan tahi kucing

Seorang pesara tentera bukan sahaja gagal mengawal diri hingga memukul anak perempuannya, malah tergamak membaling tahi kucing ke arah anaknya itu bagi melepaskan kemarahan dalam kejadian di Matang Jaya, Kuching.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 59 tahun itu mengundang padah apabila dia ditangkap polis di kaki lima sebuah kedai makan di Matang Jaya, 12.30 tengah hari ini, selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, suspek ditahan selepas didapati memukul anak perempuannya berusia 21 tahun di sebuah kawasan perumahan di Jalan Matang, pada 21 Mac lalu, kira-kira 8 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa dipukul bapanya selepas menegur lelaki itu yang mengamuk dan membuat bising di rumah.

“Bapanya tidak mempedulikan teguran anaknya itu, sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat dan memukul anaknya sehingga cedera di tangan, bahu dan kaki.

“Ketika itu, berlaku pergelutan sesama mereka apabila anaknya membaling bekas abu rokok ke arah bapanya untuk mempertahankan diri, namun suspek membalas dengan membaling tahi kucing,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Aidil berkata, pihaknya difahamkan bapa mangsa sering memukulnya dan kejadian kerap berlaku di rumah mereka.

“Berdasarkan semakan, suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes 4b(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan,” katanya.