Proses baja sendiri

Demi memastikan kelangsungan sumber kewangan, seramai 12 pekerja Rumah Amal Kulim terpaksa memproses sendiri tanah baja dan bercucuk tanam untuk dijual.

Keadaan itu dilaksanakan selepas pelatih rumah amal itu diminta pulang kepada keluarga berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengetua Rumah Amal Kulim, Zarina Md Noor berkata, rumah kebajikan berkenaan adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi pendidikan dan latihan kemahiran kepada 62 kanak-kanak serta dewasa berstatus orang kurang upaya (OKU).

“Kami memberi kelas pendidikan kepada pelajar berusia tujuh hingga 18 tahun manakala selebihnya pula diberi latihan kemahiran supaya mereka dapat berdikari kelak.

“Ia membabitkan pelajar dan pelatih kategori sindrom Down, masalah pembelajaran, autisme dan hiperaktif,” katanya.

Zarina berkata, rumah yang ditubuhkan sejak 1982 itu beroperasi menggunakan dana daripada geran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sumbangan pihak luar serta pendapatan jualan produk dihasilkan pelatih.

SEBAHAGIAN pelajar dan pelatih Rumah Amal Kulim.
SEBAHAGIAN pelajar dan pelatih Rumah Amal Kulim.

Katanya, sejak pelaksanaan PKP, sumber pendapatan rumah berkenaan terjejas dan pihaknya tidak lagi menerima kehadiran syarikat korporat yang kebiasaan menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

“Sebelum ini, kami juga menjana pendapatan melalui aktiviti yang dilakukan pelatih seperti menjahit, bercucuk tanam, memproses tanah baja dan sebagainya.

“Memandangkan pelatih tidak dibenarkan hadir ke rumah amal, maka pekerja terpaksa meneruskan kerja mereka untuk memastikan sumber kewangan rumah ini mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun, program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020 membuka rezeki mereka apabila Rumah Amal Kulim dipilih untuk menerima sumbangan RM5,000.

Zarina berkata, pihaknya berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Harian Metro dan syarikat yang terbabit di atas keprihatinan membantu badan amal ketika mereka berhadapan dengan masalah kewangan.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pengurusan meneruskan yang terbaik untuk rumah amal ini.

“Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas sumbangan yang diberikan pihak berkenaan bagi memastikan kelangsungan rumah kebajikan ini,” katanya.

ZARINA bersama pelajar OKU yang menerima pendidikan di rumah amal berkenaan.
ZARINA bersama pelajar OKU yang menerima pendidikan di rumah amal berkenaan.