Program Matrikulasi KPM sesi 2019/2020 tamat sepenuhnya

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan Peperiksaan Semester II (PSPM) Program Matrikulasi KPM sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei ini, dibatalkan.

KPM dalam kenyataan, memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan penelitian terhadap situasi semasa Covid-19.

“KPM menyedari keputusan peperiksaan itu amat penting kepada pelajar Program Matrikulasi sesi berkenaan bagi permohonan ke universiti awam kemasukan sesi 2020/2021.

“Justeru, KPM memutuskan bahawa keputusan peperiksaan Semester II akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan yang sudah dilaksanakan bagi semester berkenaan.

“Ia selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam pada 24 Mac lalu. Justeru, keputusan akhir untuk pelajar Matrikulasi sesi 2019/2020 adalah berdasarkan gabungan keputusan Semester I dan keputusan penilaian berterusan Semester II,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan KPM juga memutuskan bahawa pengajian Program Matrikulasi KPM bagi sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya bermula hari ini selepas mengambil kira pembatalan peperiksaan Semester II.

“Selaras dengan perlanjutan PKP, semua pelajar yang masih berada di kampus diminta untuk terus kekal mematuhi arahan berkaitan.

“KPM akan terus memantau keadaan pelajar secara dekat dan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terpelihara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan