PPT turut dibantu

DUA lelaki yang yang menjalani Penggantungan Perintah Tahanan (PPT) mengikut Seksyen 7(1)Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 di Kuala Klawang, Jelebu turut diberi bantuan makanan.

Bantuan itu diberikan selepas keadaan kedua lelaki berusia 52 dan 28 tahun itu tiada bekalan makanan diketahui pihak polis.

Mereka dikatakan hanya makan roti bersama air kosong sejak beberapa hari lalu selepas terputus bekalan makanan.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, keadaan kedua lelaki yang tidak makan sejak beberapa hari itu diketahui anggotanya yang mengadakan lawatan ke rumah sewa mereka petang semalam.

Menurutnya, kedua lelaki berkenaan tidak keluar dalam rumah sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

“Sebaik dimaklumkan, anggota polis dari Balai Polis Kuala Klawang menghantar keperluan makanan ke rumah sewa dua lelaki berkenaan,” katanya.

Kamarul Rizal memuji tindakan anggotanya itu yang membantu dua lelaki berkenaan yang terputus bekalan makanan.

“Anggota mencari bantuan makanan sebelum sebuah syarikat bersetuju menghulurkan bantuan sebelum diserahkan kepada mereka yang dalam kelaparan,” katanya.