Polis tumpas judi dalam talian, penipuan

POLIS menumpaskan sindiket terbabit aktiviti judi dalam talian dan penipuan penjualan penutup mulut dan hidung, susulan penahanan empat lelaki di premis di Jalan PJU 5/1 Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur membuat serbuan di bangunan pejabat itu kira-kira 3 petang.

“Ketika serbuan dilakukan, empat lelaki berusia antara 18 hingga 24 tahun didapati sedang menggunakan komputer dan pemeriksaan lanjut terhadap komputer digunakan itu mendapati wujud aktiviti judi dalam talian dan penipuan penjualan topeng penutup mulut dan hidung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, hasil siasatan dilakukan pihaknya mendapati sindiket itu beroperasi sejak enam bulan lalu dan didapati beroperasi sebagai pusat tambah nilai pertaruhan judi dalam talian selain penipuan penjualan topeng penutup mulut dan muka sepanjang tempoh ini.

“Sindiket ini menggunakan beberapa akaun persendirian dan syarikat untuk transaksi pembayaran bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Semakan mendapati terdapat satu laporan diterima di daerah ini membabitkan kes penipuan penjualan topeng mulut dan muka dengan kerugian sebanyak RM2,500.

“Kami turut merampas beberapa komputer, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan untuk kegiatan terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Sekyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, pihaknya menahan 11 individu termasuk lima wanita warga Indonesia berusia antara 31 hingga 60 tahun di sebuah premis menjalankan kegiatan judi dalam talian di Taman Sri Manja, kira-kira 9 malam tadi.

“Tiga wanita Indonesia yang juga penjaga premis di hadapan kaunter turut ditemui dan pemeriksaan lanjut ke dalam premis kemudiannya menemui enam lagi individu termasuk dua wanita Indonesia disyaki pelanggan.

“Premis itu dipercayai aktif sejak sebulan lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya yang memberitahu pihaknya sudah mengenal pasti dua lagi sindiket judi dalam talian yang aktif dikenali sebagai We Chat dan VVIP.

Menurutnya, siasatan lanjut mengenai dua kumpulan itu sedang dilakukan dan polis giat memburu anggota sindiket terbabit>