Polis tinggi suara tak langgar disiplin

TIADA pelanggaran disiplin berlaku dalam kejadian tular membabitkan anggota polis meninggikan suara terhadap seorang lelaki yang diperiksa ketika sekatan jalan raya di Seri Kembangan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, semua pihak yang terbabit dalam kejadian itu sudah diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan dijalankan.

“Hasil siasatan dilakukan, kami mendapati tiada perlanggaran disiplin berlaku. Insiden itu hanya menggambarkan terdapat segelintir orang awam yang masih tidak faham penguatkuasaan sedang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan lebih ketat.

“Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan kejayaan bersama memerangi ancaman penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan pihak polis berhubung kejadian itu.

Sebelum ini, satu video berdurasi 17 saat menunjukkan seorang lelaki memarahi anggota polis bertugas sebelum seorang daripada mereka meninggikan suara bagi menegur lelaki berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Berita berkaitan

• Video polis tinggi suara, siasat semua pihak

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan