Polis terima laporan dakwa Dr Zulkifli langgar PKP

POLIS menerima dua laporan berhubung dakwaan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya mengesahkn menerima laporan dan kini sudah merakam percakapan pengadu.

“Keterangan bagi pihak lain akan diambil setelah mendapat arahan daripada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Polis turut membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi tujuan siasatan awal,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan polis berkenaan dibuat pada 3 Mei lalu oleh seorang wanita yang mendakwa membaca page Facebook akaun Dr Zulkifli Al-Bakri yang memuat naik pelbagai aktiviti dilakukan sejak dilantik menjadi Menteri Agama.

Susulan itu, laporan berkenaan tular di media sosial selepas dimuat naik semalam.

Dalam laporan itu, wanita itu menyatakan terdapat pelanggaran PKP dilakukan Zulkifli antaranya pada 31 Mac apabila memuat naik gambar beliau menyampaikan surat pertukaran kepada pegawai kanan Jakim dan pada 13 April memanggil Datuk Dr Fathul Bari mengadakan mesyuarat dan bergambar tanpa mengamalkan penjarakan sosial dan banyak lagi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan