Polis Terengganu dinyah kuman sebelum dan selepas tugas

SEMUA pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu perlu melakukan semburan nyah kuman di khemah sanitasi yang disediakan di setiap daerah bermula semalam sebagai langkah perlindungan wabak Covid-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, khemah sanitasi itu ditempatkan di tujuh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi memastikan keselamatan 1,800 anggota yang bertugas sepanjang Op Covid-19.

“Bermula hari ini (semalam), semua anggota yang hendak memulakan atau tamat bertugas boleh melakukan nyah kuman yang bertahan selama 24 jam di khemah disediakan ini.

“Khemah ini ada kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jadi ini antara usaha kita untuk melindungi setiap anggota memandangkan kita mahu bertugas lama lagi iaitu hingga 14 April ini,” katanya ketika ditemui selepas demontrasi penyahkuman petugas Op Covid-19 di Khemah Sanitasi (Disinfection) IPD Kuala Terengganu, Kuala Terengganu, petang semalam.

Dalam pada itu, Roslee berkata, seramai 380 jemaah tabligh di negeri ini yang menyertai perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling sudah menjalani pemeriksaan kesihatan Covid-19.

Katanya, mereka selesai menjalani saringan Covid-19 sejak dua minggu lalu di klinik kesihatan dan hospital berhampiran di daerah masing-masing.

“Semua jemaah tabligh di negeri ini memberi kerjasama sebaik mungkin walaupun ada segelintir daripada mereka lambat ‘menyerah diri’.

“Ini bukan disebabkan mereka berdegil tetapi lambat menerima maklumat berkaitan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19