Polis tak ‘beri muka’ lagi

POLIS akan meningkatkan pemantauan di lima lokasi ‘hotspot’ di sekitar Jasin susulan pengumuman daerah itu sebagai zon merah wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, lima kawasan itu membabitkan Kampung Ayer Merbau, Chohong, Serkam, Merlimau dan bandar Jasin yang masing-masing mencatatkan kes positif antara lima hingga 14 kes.

Justeru itu, beliau berkata, pihaknya akan bertindak lebih tegas, termasuk menangkap serta-merta orang ramai yang didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada masa sama, katanya, pihaknya menerusi Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menggunakan drone untuk memantau pergerakan di lima kawasan terbabit.

“Kami tidak akan berkompromi, malah perlu bertegas jika ada berlaku pelanggaran (PKP), kami akan buat tangkapan serta-merta kerana mahu mengurangkan pergerakan masyarakat setempat.

“Ini saja cara untuk mengekang pergerakan mereka yang ingkar dengan arahan PKP,” katanya selepas mengetuai operasi pemantauan di kawasan hotspot di Chohong, Jasin, hari ini.

Semalam, media melaporkan Putrajaya, Jasin dan Rembau dikategorikan sebagai kawasan zon merah penularan Covid-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan zon merah sebanyak 21 kawasan berbanding sebelum ini 18 kawasan.

Infografik yang yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mendedahkan Putrajaya mencatatkan 41 kes, manakala Jasin (42) dan Rembau (41).

Sesebuah kawasan boleh dikategorikan sebagai zon merah apabila ia mencatatkan lebih 41 kes.

Sementara itu, Mispani berkata, drone PDRM akan diterbangkan di kawasan hotspot, sambil dibantu Jabatan Penerangan bagi membuat hebahan menerusi udara.

“Kaedah itu diharap dapat memberi kesedaran mengenai bahayanya Covid-19 serta keperluan mereka duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19